Defender Black Red

Monday, September 12, 2011

Bumi Aya Sofya

Jemari laju menari-nari di kepala. Memicit-micit dahi. Terasa sakit yang mencucuk. Berdenyut-denyut. Kepala seakan berat. Pandangan berpinar-pinar. Mungkin terlalu penat, lantaran jadual yang penuh seharian. Tanpa ada ruang kosong untuk berehat. Sementelahan berdepan dengan 2 test lewat petang tadi. Dua biji panadol ditelan. Pantas tangan mencapai minyak cap kapak di birai katil, tanda menyetujui impuls yang dihantar ke otak. Minyak dilumurkan sekitar bahagian rambut dan dahi. Kipas siling dilajukan. Menghambat hawa panas, seraya angin damai merebut-rebut masuk, memenuhi bilik kecil yang ruangnya cuma 2x 4 meter. Namun, sakit di dahi seolah-olah tidak mahu pergi.

“Apa yang tidak kena lagi?” hati bersuara.

Kepala dihempas ke bantal. ‘Ain mengitari segenap ruang. Membilang bilah-bilah kipas yang laju berkejaran. Pandangan terhenti pada sudut kepala katil. ‘Rona Bosphorus’! Karya terbaru penulis muda graduan Jordan, Zaid Akhtar menjentik minat. Novel yang menggondol tempat pertama kategori remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan seakan-akan menggamit diri. “Mahu membaca atau terus tidur” Ligat otak berfikir-fikir. Denyut di dahi bertambah-tambah seolah meraih simpati.

“Ah, usah memanjakan diri.”

Rona Bosphorus dicapai. Membuka satu helaian demi helaian. Menemukan saya akan watak Afham, teruna siswazah Jordan yang melanjutkan pelajaran di bumi Kamal Antarturk juga tenaga pengajar Madrasah Badriyyah. Mengenalkan saya akan Amal Hayati, seorang hafizah yang lembut kalam bicaranya, mahal senyumannya serta menawan wajahnya. Tidak lupa Erfan, Emine dan Ilhan warga asal bumi Turki. Maka tanpa lengah novel itu cuba saya mesrai.

Bagaikan tergambar di layar mata, kecantikan Kota Konstantinopel, Masjid Biru yang dibina tanggal 1609-1616 untuk Sultan Ahmet I, dihiasi tiga pintu, lima pintu terbang, dua ratus enam puluh keping tingkap dan dua puluh ribu bentuk corak berbeza. Satu nilai estatika yang saya kira terlalu bernilai harganya. Diri merapati Muzium Aya Sofya tinggalan Byzantin sebelum singgah di kolam air pancut berbagai rona warna membias panorama yang menakjubkan. Menyusuri pantai Bebek dan mandaki Rumeli Hisari begitu menyenangkan. Menghirup angin lembut selat Bosphorus serta menadah Laut Marmara yang biru jernih membuatkan saya ingin terbang ke Turki saat ini juga! Sungguh wajah Turki terlalu cantik. Dalam diam saya kagumi hakikat itu.

Gelak tawa Farha, gadis keturunan India yang juga roommate saya tidak saya hiraukan. Entah apa yang menggelikan hatinya. Yang pasti, saya akan terus meneruskan ‘kembara’ di bumi Turki ini. Sehelai diganti demi sehelai mukasurat. Saya mengintai amarah Amal Hayati yang menunu tatkala pelajarnya bertindak kurang ajar. Mereka mempertikaikan kepentingan bahasa syurga. Seakan-seakan diri memahami gelora dalam diri Amal, mulut terkumat-kamit seolah-olah cuba memenangkan gadis itu, membayangkan dia berada di depan saya. Namun saya terpempan dengan perjuangan yang tidak pernah kenal erti jemu perawan itu tatkala dia bersama-sama Afham memikirkan jalan resolusi masalah yang membelit. Ya, motivasi saya kira jalan keluar yang paling sesuai sementelahan Ilhan Yakin, penulis terkenal Turki dijemput sebagai penceramah. Hati saya tidak henti-henti memuji-muji budi baik dua anak muda di perantauan itu.

“Panji daulah ini di tangan kamu. Laut terbentang luas dihadapanmu. Kamulah yang akan menentukannya, sama ada menang berjuang atau laut itu akan menjadi saksi kesyahidanmu….”
“Dengar sini semua! Sampaikan pesanku ini kepada semua tentera kita! Kita sekarang berada di medan jihad! Lihatlah kapal-kapal musuh di depan sana. Kamu ada dua pilihan, sama ada kamu tawan kapal-kapal byzantin itu ataupun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!”
Seperti terngiang-ngiang ucapan penuh semangat Panglima muda Islam Muhammad Al-Fatih yang diiringi takbir Allahuakbar bergema di angkasa, memenuhi zarah-zarah udara. Seraya mata dipejamkan, membayangkan tika dan saat itu, pasti mereka berdepan dengan ujian yang menuntut tadhiyah yang tinggi. Namun jangan lupa pulangan pengorbanan ini juga lumayan, tidak teridamkan syurga firdausi yang indah dan bidadari yang menawan! Benar, panglima muda itu merealisasikan sabda Nabi : Sesungguhnya konstantinopel itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua ialah ketuanya dan sebaik-baik tentera ialah tenteranya.

Bibir cuba dibiasakan dengan kalimah yang begitu asing. Allahaismarladik (selamat jalan), bir sey degil (sama-sama), gosteri (demonstrasi), gule-gule (jumpa lagi), hos geldin (selamat datang ) dan iyi yolculuklar (moga perjalanan menyeronokkan). Menutur kalimah ini seorang diri membuatkan saya hampir ketawa. Namun hati terdetik rasa kagum pada kepetahan Afham, jejaka Melayu yang mampu fasih dalam bahasa ini, Malah fasih juga berbahasa Arab dan Inggeris. Sedangkan saya masih terkial-kial berbahasa Arab, bahasa Turki, jauh sekali!

Mata menyeloroti isu pengharaman sekolah-sekolah tahfiz di bumi Aya Sofya. Bukan itu sahaja wanita tidak dibenarkan memakai hijab, hatta di tempat-tempat awam berurusan di kaunter-kaunter. Bibir diketap menahan amarah yang menyala-nyala. Lantas syukur segera menyelinap diri, lantaran diri masih boleh menutup aurat tanpa halangan. Sungguh hijab telah saya akrabi sejak kecil tika berumur 5 tahun lagi. Tarbiyah dari ayah dan ibu membuatkan saya tidak putus-putus memanjatkan kalimah syukur. Paling menyedihkan bahasa Al-Quran juga ura-ura ingin diharamkan di negara sekularisme itu. Malah Madrasah Badriyyah juga ingin ditutup oleh Yahudi Dumnah !

Kekhusyukkan yang menyelimuti diri disentak. Ringtone ‘bisikan nurani’ telefon bimbit saya berbunyi, minta diangkat segera. “Siapa pula?” gomel di dalam hati. Suara kakak saya bergetar di corong telinga. “Baru bertemu petang tadi, sudah diusik rindukah?” saya meneka. Perbualan sengaja disingkatkan. Dan saya kembali dalam dakapan ‘Rona Bosphorus’. Maka selembar demi selembar saya lewati. Seakan-akan diri boleh mengagak siapakah lelaki yang diselamatkan Afham lewat masirah di Medan Taksim. Malah juga dapat menjangka hayat penulis Turki, Ilhan Yakin yang tidak panjang. Kesudahan cerita ini yang diakhiri dengan marsum Afham kepada Wajdi membuatkan saya puas membaca novel ini. Lewat 12.33 malam, Rona Bosphorus sudah saya khatam. Rencah dan ramuan yang cukup, sarat dengat fikrah islami serta perjuangan dan pengalaman, saya kira resepi kejayaan karya kedua Zaid Akhtar. Sungguh, saya tidak menyesal menekuni novel ini. Jika ‘Sesegar Nailofar’ saya ‘bercinta’ dengan Iqbal, maka ‘Ronu Bosphorus’ saya ‘bercinta’ pula dengan watak Afham.

Usai menatap ‘Rona Bosphorus namun sakit kepala tidak juga mahu beransur. Seakan-akan degil. Makin berdeyut-denyut. Nafas terasa mecat. Perut bergelodak, seolah-olah ingin memuntahkan isinya. Demamkah saya? Namun bibir tetap memutik senyuman, mujahadah menghabiskan ‘Rona Bosphorus’ berjaya walaupun dalam keadaan diri yang ditarik nikmat sihat. Lampu bilik ditutup. Mungkin sakit kepala yang melanda, ubatnya hanya tidur. Semoga saya bermimpi Bandar Istanbul yang indah yang juga bersama-samanya tertegaknya panji-panji syiar Islam. Dan semoga hari esok membawa kebahagiaan, seperti mencurah-curahnya hujan di langit mendung kota Istanbul pada musim panas lantas menzahirkan rona pelangi tujuh warna.

Noktah.

No comments:

Post a Comment