Alat kawalan jauh itu ditekan-tekan. Rangkaian demi rangkaian dibuka dan dialih tanpa sebab. Tidak sempat pelakon itu menghabiskan dialognya, dia segera mengalih ke siaran lain. Sesekali dia mendengus. “Dewasa ini, siaran televisyen semakin membosankan! Terlalu banyak drama Korea..terlalu banyak pertandingan nyanyian..” Dia mulai merungut.
“Kalau tidak mahu ditonton, tutup sahaja televisyen itu! Peninglah melihat kamu asyik menukar siaran..” marah Afifah. Nasibah dan Hidayah yang sedang rancak menghadap programming java mereka hanya mengerling sebentar. “Saya bosanlah!!” Afifah hanya menggelengkan kepalanya.
“Kalau rosak televisyen saya, kamu ganti..” pesan Nasibah ringkas. Baitiah hanya mengangguk. Namun tangannya masih mengalih siaran. “Bukankah kamu selalu merungut, ada banyak kerja. Buatlah kerja kamu” Afifah mulai membebel. Buku dan notanya mulai disusun, sebagai persediaan untuk mentelaah.
Baitiah hanya menggeleng. “Malam..berilah peluang saya berehat..” rengek Baitiah sambil mengelek anak patung Shin Channya. Afifah hanya mencebik. “Bacalah buku. Bertimbun-timbun buku yang kamu beli, satu pun tidak habis dibaca” bebel Afifah. Helaian notanya diselak. Mencari-cari di mana hendak dimulakan pembacaan.
Baitiah masih mengalihkan siaran. “Baitiah.. perbuatan kamu mengganggu sebenarnya..” rungut Hidayah pula. “BDBBUKK!!” Afifah mencampakkan sebuah buku kepada Baitiah. “Visual Basic - How to Program?” Baitiah mengalihkan pandangannya kepada Afifah. “Tutup televisyen itu, dan baca buku!” Afifah memberikan arahan.
Buku itu dibelek-belek. Namun tangan Baitiah masih memicit-micit punat di alat kawaln jauh itu. Puas menukar siaran, dia menukar color dan contrast siaran pula. “Eh..pergilah tidur. Suruh baca buku tidak mahu..” bebel Nasibah pula. Baitiah hanya menggelengkan kepalanya. “Jam baru 9.00 malam. Awal sangatlah nak tidur..”
Tiba-tiba Hidayah bingkas bangun masuk ke bilik. Baitiah hanya memandang dengan ekor mata. Apabila Hidayah keluar semula dari bilik, pandangan semua orang tertumpu pada buku kecil di tangannya. Buku itu dihulurkan kepada Baitiah. “Nah, pergi sembahyang dan wirid lama-lama. Jangan mengganggu orang..” Baitiah hanya tersengih melihat buku Panduan Menunaikan Solat Sunat dan wirid itu.
Baitiah segera bangun dan berlalu ke bilik air. Bukan kerana buku yang diberikan kepadanya, tetapi kerana kayu panjang di tangan kiri Hidayah seakan berkata, “Kalau kamu tidak bangun lagi, akan ku cium kakimu!!”
_________________
No comments:
Post a Comment